Sekolah sudah mula bercuti. Saya dan anak-anak masih berada di Desa Perwira. Anak-anak gembira bersolat terawih di Masjid Jalan Diary. Aman pula rajin mengikuti program Qiam yang dianjurkan oleh masjid di 10 malam terakhir Ramadhan. Lagi pun beberapa orang murid Tahun 6 ada menyatakan hasrat untuk datang ke rumah minggu hadapan. Bukan untuk beraya tapi untuk buat latihan Matematik. Maklumlah peperiksaan UPSR sudah semakin hampir.
Seronok berinteraksi dengan budak-budak kecil yang bersih dari dosa dan noda. Satu hari, ketika melintasi blok Tahun 1 menuju ke kelas Tahun 6, sekumpulan murid Tahun 1 berlari-lari anak menuju ke arah saya. Kerisauan jelas kelihatan di wajah mereka.
'Muallimah!' seorang daripada mereka berbicara.
'Kalau menangis batal tak puasa kita?'
'Tidak,' jawab saya sambil cuba menahan gelak.
Murid-murid ini juga boleh tahan pintarnya. Ketika menggantikan guru yang sedang cuti sakit, seorang murid Tahun 1 mengadu kawannya suka sorokkan alat tulisnya. Jadi saya pun mulalah memberi ceramah sempena bulan Ramadhan. Saya tegaskan kepada mereka bahawa di bulan Ramadhan semua orang jadi baik sebab syaitan telah diikat. Belum sempat saya sambung ceramah saya, mereka beramai-ramai kata,
'Tapi nafsu ada lagikan Muallimah!'
Memang kenyataan itu tidak dapat di sangkal. Di bulan yang barakah ini, kejadian pecah rumah, ragut, dan perbuatan jenayah lain semakin menjadi-jadi. Setiap individu bertanggungjawab untuk memastikan diri mereka bersih daripada anasir yang dibenci oleh Allah.
Perlu berehat sebentar sebelum memulakan tugas di dapur. InsyaAllah bertemu kembali.
No comments:
Post a Comment